Teguhkan Perpaduan!!!

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada semangat perpaduan yang menjadi kunci kepada kejayaan negara dari dahulu hingga sekarang.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama mesti terus bersatu tanpa memberi penekanan kepada identiti atau amalan ekstremisme agama.

Mereka juga, kata beliau, mesti menghalang berlakunya ketidakadilan sehingga boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan terhadap jaminan masa hadapan mana-mana individu.

“Ketika melangkah ke hadapan, adalah menjadi harapan saya agar negara kita akan menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat.

“Sama pentingnya, Malaysia mesti memiliki warga yang bukan sahaja kaya dengan pengetahuan dan berdaya saing tinggi, tetapi berkeperibadian luhur dan bernilai mulia,” katanya ketika merasmikan Ekspo Merdeka: Memaparkan Kejayaan 50 Tahun Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya rakyat Malaysia sekarang dan pada masa akan datang akan memastikan negara kekal aman dan stabil serta saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Sehubungan itu, beliau mahu mereka terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan serta seterusnya meningkatkan usaha menghapuskan kemiskinan agar kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.

“Marilah kita terus bersama-sama membina Malaysia dengan berpandukan kepada semangat dan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan,” katanya.

Menurut Abdullah, amat wajar dalam negara menyambut kemerdekaan ke-50, semua pihak memberikan perakuan bahawa mereka tidak akan mempersia-siakan segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pejuang kemerdekaan.

Justeru, beliau mengajak semua pihak berusaha menjanjikan masa depan yang cerah kepada generasi akan datang.

Menyentuh tentang ekspo tersebut, beliau berkata, ia diadakan tepat pada waktunya kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenang kembali sejarah negara.

“Dalam kita merenung bahan-bahan serta gambar-gambar silam yang dipaparkan, kita juga mesti mengambil iktibar daripada pengorbanan dan pahit maung yang telah dilalui oleh nenek moyang kita sebelum ini… janganlah disia-siakan.

“Dalam kita asyik menikmati kejayaan negara, ada kalanya kita leka dan terlupa tentang cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa dulu,” katanya.

Perdana Menteri mengambil contoh bagaimana rakyat suatu masa dahulu terpaksa berkaki ayam ke sekolah, belajar di kelas beratap rumbia dan bercahayakan lilin ketika mengulang kaji pelajaran di rumah.

Sebaliknya, kata beliau, anak-anak Malaysia masa kini ramai yang tidak boleh hidup tanpa komputer, Internet, televisyen, telefon bimbit dan pelbagai lagi peralatan canggih yang tidak murah harganya.

“Oleh itu, marilah kita memanjangkan kesyukuran ke hadrat Allah atas segala rahmat yang telah dikurniakan,” katanya.

Abdullah berkata, apa yang berlaku pada masa dahulu adalah sebahagian daripada sejarah unik negara ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali seperti hari ini.

Katanya, mungkin sukar dipercayai bahawa satu masa dahulu rakyat Malaysia hidup di bawah telunjuk penjajah.

“Ketika negara mencapai kemerdekaan, penduduk Malaya kurang lima juta orang. Peruntukan kerajaan di bawah Rancangan Malaya Pertama 1956-1960 hanyalah RM110 juta, berbanding RM220 bilion masa kini.

“Yang pasti, daripada sebuah negara baru, mentah dan tidak berpengalaman, Malaysia kini mampu bersaing dengan gergasi dunia. Alhamdulillah, segala titik peluh dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita kini membuahkan hasil,” katanya.

Leave a Reply