8 perkara
Lapan perkara patut dielak ahli politik
JOHOR BAHARU 16 Jun – Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari ini menggariskan lapan perkara yang perlu dihindari oleh ahli politik bagi memastikan diri mereka benar-benar berintegriti.
Lapan perkara itu ialah tamak kuasa, dendam, kebencian, hasad dengki, ketaksuban kepada seseorang, oportunis, mementingkan diri dan politik wang.
Beliau berkata lapan perkara itu telah membuatkan ramai ahli politik hilang pertimbangan sehinggakan perjuangan mereka bercampur aduk dengan sikap mementingkan diri sendiri, pangkat serta kuasa sehingga menjejaskan parti dan negara.
“Setiap ahli politik perlu melihat ke dalam diri sendiri untuk melalui proses memperteguh nilai dan etika. Pembaharuan ini lah yang perlu diwujudkan supaya suasana politik kita lebih beradab,” katanya semasa merasmikan Forum Pemantapan Integriti Politik peringkat negeri di sini hari ini.
Katanya ahli politik perlu sedar bahawa gerak geri mereka sentiasa diperhatikan dan rakyat juga semakin bijak mengamati serta menilai secara kritikal setiap perlakuan mereka.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Dr. Mohd Tap Salleh dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan.