UMNO PUSAKA BANGSA….61 years UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang Melayu sentiasa berjuang mempertahankan UMNO bagi memastikan parti itu terus memimpin kerajaan ‘100 tahun lagi’. Dalam amanatnya sempena ulang tahun ke-61 UMNO hari ini, Presiden UMNO itu turut menggariskan ciri-ciri yang harus ada dalam UMNO untuk menentukan parti itu terus utuh dan unggul memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), antaranya ahli-ahli parti yang kini telah menjadi Melayu moden dan glokal perlu bersikap ikhlas dalam perjuangan. Beliau meminta ahli-ahli UMNO bergerak aktif dalam politik dengan komitmen bahawa perjuangan itu satu ibadat. ‘‘Saya harap pada masa 100 tahun kita merdeka, UMNO masih ada, masih kuat, masih memimpin dan masih ada dalam kerajaan bersama-sama parti komponen BN yang lain kerana agenda membangunkan bangsa dan negara belum selesai,’’ kata Perdana Menteri ketika berucap selama sejam pada majlis khas yang dihadiri kira-kira 5,000 ahli parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Turut hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, naib-naib presiden, ahli Majlis Tertinggi parti, tokoh-tokoh veteran dan para pemimpin parti komponen BN. Majlis itu yang diraikan secara sederhana memberi penekanan khusus kepada aspek pengorbanan dan mengimbau semula detik-detik bersejarah kelahiran UMNO yang ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru oleh Datuk Onn Jaafar pada 11 Mei 1946. Dalam ucapannya, Abdullah menegaskan, generasi yang memimpin UMNO sekarang perlu memelihara kekuatan sedia ada bagi menentukan pewaris akan datang dapat meneruskan perjuangan parti itu membela nasib bangsa, agama dan negara. ‘‘UMNO adalah pusaka bangsa yang tidak boleh diabaikan. Adalah menjadi kewajipan kita menentukan generasi yang mengambil alih UMNO hendaklah mewarisi UMNO yang kuat, teguh dan berjaya. ‘‘Ia merupakan sebuah parti keramat yang diwarisi daripada perjuangan bangsa Melayu ketika menuntut kemerdekaan negara. Kita harap UMNO tidak terkorban pada mana-mana masa di bawah kepimpinan generasi mana juga,” tegasnya. Menurut Abdullah, dengan mengamalkan semua ciri yang digariskan itu UMNO akan terus wujud dan menjadi landasan perjuangan orang Melayu. ‘‘Alhamdulillah parti kita masih ada dan UMNO tetap menjadi landasan perjuangan kita. Insya-Allah selama-lamanya, selagi ada bulan dan bintang, selagi ada negara kita ini di mana buminya kita pijak di mana langitnya kita junjung dan selagi ada bangsa Melayu,” ujar beliau. Perdana Menteri tidak mahu ahli-ahli parti itu menjadikan amalan ‘meminta elaun’ sebagai budaya setiap kali dikehendaki melaksanakan sesuatu tugas. Sambil menceritakan bagaimana UMNO diasaskan oleh para pemimpin yang telah melakukan begitu banyak pengorbanan, beliau berharap dalam tempoh 50 tahun akan datang, ahli-ahli parti itu masih berpegang pada sikap sanggup berkorban apa saja. ‘‘Ada ahli yang datang dari negeri yang jauh hendak menghadiri kursus, itu kita menyedarinya. Mereka perlu dibantu, tapi (orang) yang kerjanya selalu minta itu dan ini, tak bolehlah. “Buat sesuatu sikit, minta duit, sampai nak bantu naikkan poster pun mesti bagi duit, mana boleh macam itu,” katanya. Abdullah turut menekankan agar perpaduan di kalangan ahli-ahli parti diperkukuhkan manakala semangat persaudaraan dan kekeluargaan harus diwujudkan seperti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli veteran UMNO. ‘‘Sekarang mana pernah (kita) dengar (ungkapan) keluarga UMNO, mana ada semangat kekeluargaan parti. Tak pernah, saya tak pernah dengar lagi,” katanya. Beliau menggesa ahli-ahli UMNO mengembalikan semangat lama itu yang telah menjadikan UMNO sebuah parti politik yang hebat. Abdullah juga melahirkan kegembiraan kerana kesepakatan antara parti-parti komponen BN yang ditunjangi UMNO kini semakin kuat sejak penubuhan Perikatan oleh para pemimpin terdahulu. ‘‘Kita amat hargai kesepakatan yang terjalin sejak zaman Perikatan sehingga ke BN sekarang sungguhpun banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi dalam mempertahankan kesepakatan itu,” ujarnya.

Leave a Reply