UMNO 60 Years…

JOHOR BAHRU 10 Mei - Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-60 di Istana Besar di sini esok, membawa makna tersendiri dalam mengukuhkan semangat, maruah dan amanah parti yang telah menunjangi perjuangan orang Melayu.

Perhimpunan yang bakal disertai oleh 60,000 ahli dari seluruh negara itu turut mencatat sejarah sebagai yang terbesar sepanjang usia parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam wawancara khas dengan Utusan Malaysia sempena sambutan itu berkata, dalam memperjuangkan kekuatan bangsa, UMNO sentiasa memilih untuk menggunakan pendekatan harmoni.

Oleh itu, katanya pendekatan UMNO sentiasa mengutamakan kebijaksanaan fikiran, bukan dengan cara berlawan `lengan siapa lebih keras’.

“Inilah cara UMNO. Ahli-ahli UMNO tidak pernah rasa rendah diri dengan pendekatan ini. Sebaliknya inilah cara kita - kekuatan kita. Saya yakin, dengan pendekatan politik UMNO, semangat ini akan terus diamalkan di masa akan depan,” katanya.

Ditanya apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO untuk terus maju, Abdullah berkata:

“UMNO mesti berubah secara berterusan dari segi cara kerja - kerja kuat dengan cara betul. Namun demikian, oleh kerana UMNO dianggotai oleh majoritinya orang Islam, maka satu lagi elemen yang mesti ditambah ialah nawaitunya. Niat kita mesti lurus dan betul.”

Pemilihan Istana Besar sebagai lokasi sambutan juga menepati titah Sultan Johor bahawa UMNO bukan lahir di tepi jalan tetapi di istana.

Perhimpunan ini akan turut dihadiri bekas presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Abdullah dijangka memukul gendang besar sebagai tanda bermulanya sambutan ulang tahun berkenaan.

Gendang berkenaan kali kedua digunakan selepas sambutan ulang tahun ke-40 UMNO diadakan di istana ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pemilihan Istana Besar sebagai lokasi sambutan ulang tahun kali ini amat signifikan kerana di istana itulah tertubuhnya UMNO.

Dalam temu bual khas bersama Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, beliau yang juga Menteri Besar Johor memberitahu walaupun ini merupakan kali ketiga sambutan diadakan di situ, cara dan semangatnya berbeza mengikut perubahan zaman.

“Enam puluh tahun lalu ahli-ahli datang ke Johor Bahru dengan rela dan sanggup menyerahkan jiwa raga, kesetiaan dan harapan kepada UMNO.

“Ini adalah amanah orang Melayu dan UMNO menerima amanah ini untuk membela dan memperjuangkan umat Melayu.

“Hari ini dalam keadaan UMNO berkuasa dan kuat, ahli-ahli berkumpul dalam keinsafan dan kesedaran untuk terus menjaga dan memelihara amanah yang telah diserahkan 60 tahun lalu,” katanya.

Justeru menurut beliau, persiapan sambutan kali ini dilakukan dengan teliti bagi memastikan tarikh keramat dalam diari UMNO itu terus diraikan dengan penuh gemilang.

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dijadual tiba di pekarangan istana kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum menandatangani plak ulang tahun ke-60 parti itu.

Beberapa pemimpin veteran yang pernah bersama-sama pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika penubuhan parti itu juga dijadual hadir.

“Walaupun ada kalangan mereka sudah uzur tetapi masih bersemangat untuk menghadiri sambutan itu bagi mengenang detik sejarah penubuhan UMNO di istana ini,” kata Abdul Ghani.

Leave a Reply