Tun..
Bagi Tun apakah signifikannya sambutan 60 tahun penubuhan UMNO kepada orang Melayu? 60 tahun ini adalah sambutan jubli intan, ia adalah satu jangka masa yang dianggap sebagai signifikan dan bermakna bagi mana-mana organisasi sekali pun.
DR. MAHATHIR:
Bagaimana Tun melihat pencapaian UMNO sepanjang tempoh tersebut?
DR. MAHATHIR: UMNO telah mencapai banyak kejayaan, UMNOlah yang mengalahkan Malayan Union, yang mencapai kemerdekaan, UMNO yang membangunkan negara dan juga telah menangani masalah kaum.
Pada umumnya, UMNO adalah sebuah parti yang berjaya.
Kalau kita perhatikan kebanyakan parti yang berjuang untuk kemerdekaan akhirnya ditolak oleh rakyat, ini berlaku kepada Parti Kongres India, kepada parti-parti di Indonesia dan di mana-mana juga. Tetapi Alhamdulillah, UMNO dapat kekal sebagai pemerintah sehingga sekarang.
Jadi bagaimana untuk memastikan UMNO terus dapat dikekalkan,tidak menjadi seperti parti-parti lain.
DR. MAHATHIR: UMNO akan kekal kalau ia selalu mengambil berat kehendak dan pandangan rakyat.
Jika kita imbas pada tahun 1946, orang Melayu mempunyai semangat juang untuk menentang Malayan Union dan kemudian menuntut kemerdekaan, jadi selepas 60 tahun bagaimana kita hendak kembalikan semula semangat itu.
DR. MAHATHIR: Semangat kalau kita perhatikan sama juga dengan parti-parti di negara lain, yang mana apabila sudah berjaya menjadi mewah maka semangat menjadi luntur dan sedikit sebanyak dia menghakis kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Sama juga saya kata tadi, kalau kita sudah tidak ambil berat pandangan rakyat dan keperluan serta kepentingan mereka, maka sokongan kepada UMNO akan terhakis dan kita tidak boleh percaya secara automatik UMNO akan kekal selama-lamanya.
Bagaimana kita hendak membangkitkan semula semangat perjuangan yang di dalam jiwa orang Melayu ketika itu?
DR. MAHATHIR: Kita kena kepada proses pendidikan, memberi penerangan kepada rakyat khususnya orang Melayu, bukan sahaja ahli-ahli UMNO, betapa pentingnya mereka sedar bahawa semuanya tidak dapat bergolek atau melayang, semuanya perlu diusahakan. Kalau tidak usaha, mungkin kita akan dijajah semula.
Sekarang ini kita mempunyai Wawasan 2020, ada cabaran yang besar, jadi bagaimana hendak menghadapi cabaran itu?
DR. MAHATHIR: Ahli UMNO mesti tahu berfikir, menilai dan buat keputusan serta tahu gunakan parti untuk kesejahteraan rakyat dan kebaikan negara. Kalau mereka tidak tahu sebaliknya mengutamakan untuk kepentingan diri, saya rasa UMNO akan merosot.
Merosot dari segi apa?
DR. MAHATHIR: Dari segi sokongan daripada rakyat kerana kita amalkan sistem demokrasi, kalau rakyat tidak sokong kita akan kalah.
Pada mula Tun berada dalam UMNO, kemudian dibuang daripada UMNO tetapi kembali semula dalam parti sebagai seorang pemimpin. Jadi apa yang Tun mahu tunjukkan kepada ahli UMNO tentang sikap sebagai ahli parti tentang perjuangan.
DR.MAHATHIR: Saya tidak mungkin datang balik kalau orang tidak hendak kepada saya, bukan kehendak saya. Bukan kata saya hendak kemudian saya datang. Jika orang tidak hendak saya masuk balik, orang tidak akan terima.
Jadi sekali lagi saya hendak tekankan apabila kita hendak UMNO kekal, kita mesti buat perkara yang dianggap baik dari segi UMNO dan orang Melayu. Ini kerana dalam pilihan raya, orang bukan UMNO akan menentukan nasib UMNO.
Orang biasa tidak aktif dalam parti politik tetapi dalam pilihan raya, mereka yang mengundi, jadi undi mereka yang beri kelebihan untuk kita menang.
Tetapi dalam pilihan raya kalau kita buat benda yang rakyat tolak dia boleh menentukan pendirian mereka dengan tidak undi kita.
Kita hendak kalah bukan banyak, kadang-kadang kita tengok sesetengah kawasan itu kita kalah 100 undi atau 200 undi, kita kalahlah. Saya dulu kalah. Mulanya saya menang 4,000, itu pun dalam pilihan raya satu lagi. Saya kalah hampir 1,000 undi. Bermakna lari 5,000 undi tetapi sekarang ini tidak payah 5,000 undi, 200 atau 300 undi sahaja kita boleh kalah.
Apakah peristiwa-peristiwa sepanjang 60 tahun ini yang hampir menjejaskan UMNO?
DR. MAHATHIR: Pada 1969 apabila kita tidak faham perasaan rakyat, kekecewaan mereka berkenaan kedudukan tidak seimbang antara kaum. Fasal 1999 iaitu bila rakyat berpendapat bahawa kononnya UMNO tidak bertimbang rasa.
Pada 1987, parti Semangat 46, hendak tempat, bila tidak ada tempat sanggup jadi parti serpihan. Pada 1998 apabila sekali lagi parti serpihan yang berlaku, ini semua peristiwa yang boleh menghancurkan UMNO kalau ia tidak ditangani dengan baik.
Jadi UMNO memerlukan pemimpin yang mampu menangani segala konflik atau masalah dalaman bagi memastikan ia terus kekal.
DR. MAHATHIR: Pertama, kita kena jaga parti, satu lagi kena jaga rakyat termasuk yang bukan Melayu. UMNO kena ingat orang bukan Melayu pun main peranan juga.
Jadi kita kena jaga macam mana kita menangani UMNO, bagaimana kita menangani orang Melayu dan bagaimana kita mengendalikan rakyat keseluruhannya termasuk bukan Melayu.
Apakah perbezaan mentaliti orang UMNO dahulu dan sekarang?
DR. MAHATHIR: Dulu saya masih ingat apabila kita cadangkan seseorang itu jadi calon dalam pilihan raya, dia kata dia tidak layak jadi calon.
Tetapi sekarang ini yang tidak layak itu sanggup berebut hendak jadi calon sampai sanggup guna duit.
Bukan hendak jadi calon untuk berkhidmat kepada negara atau bangsa, sebaliknya hendak kepada gelaran jadi Yang Berhormat dan dapat elaun. Bila dapat, ramai yang tidak mahu lepas jawatan. Hendak duduk di situ sampai mati.
Ramaikah orang yang macam itu?
DR. MAHATHIR: Ramai…payah. Masa saya dulu, kita angkat orang jadi Senator, lepas itu ingat cukuplah, bagi peluang kepada orang lain pula.
Orang tidak hendak lepaskan. Mereka kata kena terus jadi Senator, kalau tidak susahlah mereka. Oleh kerana itu, saya terpaksa buat peraturan boleh jadi Senator setakat dua penggal sahaja.
Satu penggal ada tiga tahun, lepas dua penggal iaitu enam tahun, mesti berhenti. Baru boleh kita beri peluang kepada orang lain.
Kalau tidak ada peraturan itu, tidak ada seorang pun yang kata dia patut berhenti. Semua kata mesti terus jadi Senator, anak dia kena jaga, status dia kena jaga, duit tidak ada, macam-macamlah alasan.
UMNO adalah parti yang membawa kemerdekaan, tetapi sampai bila kita hendak guna hujah itu untuk mendapat sokongan sedangkan ada parti lain yang mendakwa lebih relevan?
DR. MAHATHIR: Itulah kita kadang- kadang kena fikir. Kata kita berjuang dalam UMNO untuk UMNO. Itu tidak kena kerana UMNO adalah alat orang Melayu untuk berjuang bagi kebaikan orang Melayu.
Kalau UMNO sudah jadi sebuah parti untuk dirinya semata-mata. Untuk kekalkan dirinya tanpa mengambil kira masalah atau kepentingan orang Melayu, pada masa itu UMNO mungkin jadi tidak relevan.
Pada masa itu, kita tidak akan dapat sokongan daripada orang yang bukan ahli UMNO.
Hanya tinggal 14 tahun lagi untuk sampai kepada matlamat negara maju pada 2020. Jadi cabaran UMNO semakin getir untuk memastikan orang Melayu pun maju pada waktu itu.
Adakah UMNO mampu mencapainya?
DR. MAHATHIR: Sedikit sebanyak dari segi kemajuan orang Melayu kita berjaya juga. Hari ini orang Melayu terkenal di dunia sebagai bangsa yang berjaya. Bahkan kalau pergi mana-mana pun orang tahu Malaysia. Dulu orang tidak tahu langsung Malaysia di mana.
Sekarang ini, apabila mereka tahu rakyat Malaysia, mereka datang untuk minta nasihat daripada kita. Mereka mendapatkan pakar-pakar kita bekerja di luar negara.
Ini tidak berlaku pada masa dulu, orang Melayu dianggap orang yang kolot dan tidak ada kebolehan. Tetapi sekarang ini berkat perjuangan UMNO, orang Melayu sudah mencapai satu tahap yang lebih baik.
Tetapi ini bukan dengan sendirinya boleh kekal. Ia harus diusahakan. Kalau kita hendak menjaga maruah kita, maka kita kena tunjuk kebolehan kita.
Sekarang ini ada orang Melayu di luar negara yang tidak mahu pulang ke tanah air. Jadi bagaimana sumbangan mereka ini?
DR. MAHATHIR: Itu kehakisan dari segi nilai hidup. Ia mesti berlaku dalam masyarakat. Kita kata orang Melayu yang tidak hendak balik kerana mereka pandang mereka lebih untung duduk di luar negara.
Tetapi ada juga orang Melayu yang duduk dalam negara tetapi sudah lupa tentang komitmen dia kepada orang Melayu.
Kalau hendak marah kepada Melayu yang duduk di luar pun tidak boleh juga kerana apa yang ada dalam negeri tetapi utamakan diri sendiri, orang ini sama juga yang tidak balik itu.
Tetapi orang ini juga gunakan UMNO untuk capai matlamat mereka?
DR. MAHATHIR: Yang dalam dan luar, semua guna UMNO. Kalau tidak sebab UMNO, mereka tidak dapat. Malah kadang-kadang dia dapat terus melalui UMNO.
Orang lain itu dapat hasil daripada perjuangan UMNO. Umpamanya kita keluarkan biasiswa, dia gunakan biasiswa itu. Tetapi kita ada dalam parti dan kita utamakan untuk dapat jadi YB. maka lebih kurang sama sahaja.
Orang lain sekurang-kurangnya tidak naik melalui tangga parti. Tetapi ini pakai tangga parti lepas itu tolak tangga.
Akhir sekali apa-apa nasihat Tun kepada ahli-ahli UMNO?
DR. MAHATHIR: Sayanglah kepada UMNO. Kita dapat banyak nikmat daripada UMNO kalau tidak kerana UMNO kita tidak ada di sini, Janganlah fikir tentang diri saja.