Archive for May, 2006

Hidup Melayu!!!

Thursday, May 11th, 2006

JOHOR BAHRU 11 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengajak seluruh orang Melayu berusaha gigih untuk mencapai kejayaan bagi memastikan mereka muncul sebagai kaum yang maju pada 2020.

Menurut Presiden UMNO, orang Melayu tiada pilihan lain, kecuali menjadikan inisiatif itu satu kejayaan dan pada masa itu kelak, ia akan menjadi satu lagi hadiah yang amat bermakna kepada kaum Melayu.

Katanya, jika sebelum ini Datuk Onn Jaafar menghadiahkan orang Melayu erti bekerja berpasukan, UMNO pula menghadiahkan nilai kemerdekaan kepada mereka.

“Kita ada tahun 2020 dan kita perlu menjadikan ia sebagai satu inisiatif yang perlu dicapai kerana kita mahu pada tahun 2020 ia menjadi satu lagi hadiah kepada bangsa kita.

“Jangan kita lepaskan peluang ini (Wawasan 2020) kerana kita mahu pada ketika itu negara Melayu bangsa maju, negara Malaysia negara maju,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 60,000 ahli-ahli UMNO sempena ulang tahun parti itu ke-60 di pekarangan Istana Besar Johor di sini hari ini.

Turut sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara yang turut menghadiri sambutan itu.

Turut serta ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam serta beberapa orang bekas menteri Kabinet.

Signifikan sambutan ulang tahun kali ini ialah ia dirayakan di tapak yang sama di mana Onn Jaafar menubuhkan parti itu 60 tahun lalu.

Perdana Menteri yang berada di sini sejak semalam untuk merayakan ulang tahun UMNO itu menegaskan, bagi tujuan tersebut, para pemimpin parti hari ini perlu menjadikan ia sebagai satu Misi Nasional.

“Kita mesti dukung ia dengan erat dengan kekuatan dan kesedaran yang penuh bahawa kita mahu menjadi bangsa yang maju pada tahun 2020.

“Mudah-mudahan para pemimpin kita ketika itu (tahun 2020) akan dapat bangun dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan berasa megah untuk mengumumkan kepada bangsa kita dan seluruh negara bahawa bangsa kita (telah) maju dan negara kita (telah) maju,” katanya sambil disahut dengan laungan `Hidup Melayu’.

Bagaimanapun, katanya, adalah amat malang dan memalukan jika ketika itu para pemimpin terpaksa bangun dan memberikan pelbagai alasan yang panjang lebar selain meminta maaf kerana apa yang diharapkan tidak terlaksana.

“Tentunya amat mengecewakan jika ketika itu ada suara-suara dari dalam UMNO sendiri yang mendesak supaya jangan diumumkan kerana (kita) belum bersedia untuk diumumkan sebagai bangsa yang maju.

“Jika ini terjadi, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Oleh itu kita tiada pilihan kecuali memastikan kejayaan kerana ia adalah hanya pilihan yang ada,” katanya sambil disambut tepukan bergemuruh.

Abdullah berkata, beliau berharap tuhan akan memberkati sesuatu usaha yang dijalankan secara bersungguh-sungguh dan ikhlas dengan didorong oleh ilmu pengetahuan, muafakat dan kerjasama yang disokong oleh rakyat.

Katanya, seluruh perjuangan adalah ibadah dan bebaskanlah ia daripada noda seperti perbuatan rasuah, penyelewengan atau apa-apa sahaja yang boleh mencacatkan amalan (ibadah) itu yang menyebabkan ia menjadi tidak baik dan tidak memberi manfaat.

“Kita perlu bekerja keras dan berdoa kerana doa tidak akan termakbul tanpa kerja yang bersungguh-sungguh dan ikhlas.

“Apabila kita telah bekerja bersungguh-sungguh dan kemudian kita berdoa, kita perlu yakin dan bertawakal. Insya-Allah kejayaan akan menjadi hak kita,” katanya sambil menegaskan agar semua berjuang untuk masa depan bangsa yang cemerlang.

Terdahulu dalam ucapannya, Presiden UMNO itu berkata, pengasas parti itu Allahyarham Onn Jaafar telah berjaya menyatupadukan orang Melayu dari pelbagai suku, manakala pemimpin kedua parti, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra pula berjaya membawa kemerdekaan kepada bangsa dan negara.

“Allahyarham Tunku berjaya memerdekakan bangsa dan negara, dan ia adalah suatu hadiah yang amat penting,” katanya.

Abdullah berkata, presiden parti seterusnya Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir pula berjaya mengisi kemerdekaan yang dicapai itu dengan pelbagai usaha pembangunan bangsa serta negara.

“Selepas hadiah-hadiah ini, sekarang jadikanlah kejayaan kita untuk muncul sebagai bangsa dan negara yang maju pada tahun 2020 sebagai hadiah seterusnya,” kata Abdullah sambil disambut dengan laungan-laungan `Hidup Melayu’.

Menurutnya, dalam usahanya menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang maju pada 2020, UMNO menitikberatkan program-program pembangunan modal insan di kalangan bangsa menerusi pendidikan.

Dalam ucapan beliau yang mengambil masa kira-kira 45 minit itu, Perdana Menteri berkata, menerusi perjuangan UMNO, orang Melayu berjaya mencapai pelbagai kejayaan berbanding ketika bangsa dan negara berada di zaman penjajahan.

Beliau memberi contoh bagaimana hasil usaha penyelidik negara termasuk para saintis Melayu yang berjaya mempelbagaikan lagi hasil yang diperoleh daripada pokok kelapa sawit, sekali gus menambah kekayaan negara.

Menurutnya, kejayaan menghasilkan biofuel itu akan membantu negara menghadapi keadaan lonjakan harga minyak petrol ketika ini.

Tun..

Wednesday, May 10th, 2006

Bagi Tun apakah signifikannya sambutan 60 tahun penubuhan UMNO kepada orang Melayu? 60 tahun ini adalah sambutan jubli intan, ia adalah satu jangka masa yang dianggap sebagai signifikan dan bermakna bagi mana-mana organisasi sekali pun.

DR. MAHATHIR:

Bagaimana Tun melihat pencapaian UMNO sepanjang tempoh tersebut?

DR. MAHATHIR: UMNO telah mencapai banyak kejayaan, UMNOlah yang mengalahkan Malayan Union, yang mencapai kemerdekaan, UMNO yang membangunkan negara dan juga telah menangani masalah kaum.

Pada umumnya, UMNO adalah sebuah parti yang berjaya.

Kalau kita perhatikan kebanyakan parti yang berjuang untuk kemerdekaan akhirnya ditolak oleh rakyat, ini berlaku kepada Parti Kongres India, kepada parti-parti di Indonesia dan di mana-mana juga. Tetapi Alhamdulillah, UMNO dapat kekal sebagai pemerintah sehingga sekarang.

Jadi bagaimana untuk memastikan UMNO terus dapat dikekalkan,tidak menjadi seperti parti-parti lain.

DR. MAHATHIR: UMNO akan kekal kalau ia selalu mengambil berat kehendak dan pandangan rakyat.

Jika kita imbas pada tahun 1946, orang Melayu mempunyai semangat juang untuk menentang Malayan Union dan kemudian menuntut kemerdekaan, jadi selepas 60 tahun bagaimana kita hendak kembalikan semula semangat itu.

DR. MAHATHIR: Semangat kalau kita perhatikan sama juga dengan parti-parti di negara lain, yang mana apabila sudah berjaya menjadi mewah maka semangat menjadi luntur dan sedikit sebanyak dia menghakis kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Sama juga saya kata tadi, kalau kita sudah tidak ambil berat pandangan rakyat dan keperluan serta kepentingan mereka, maka sokongan kepada UMNO akan terhakis dan kita tidak boleh percaya secara automatik UMNO akan kekal selama-lamanya.

Bagaimana kita hendak membangkitkan semula semangat perjuangan yang di dalam jiwa orang Melayu ketika itu?

DR. MAHATHIR: Kita kena kepada proses pendidikan, memberi penerangan kepada rakyat khususnya orang Melayu, bukan sahaja ahli-ahli UMNO, betapa pentingnya mereka sedar bahawa semuanya tidak dapat bergolek atau melayang, semuanya perlu diusahakan. Kalau tidak usaha, mungkin kita akan dijajah semula.

Sekarang ini kita mempunyai Wawasan 2020, ada cabaran yang besar, jadi bagaimana hendak menghadapi cabaran itu?

DR. MAHATHIR: Ahli UMNO mesti tahu berfikir, menilai dan buat keputusan serta tahu gunakan parti untuk kesejahteraan rakyat dan kebaikan negara. Kalau mereka tidak tahu sebaliknya mengutamakan untuk kepentingan diri, saya rasa UMNO akan merosot.

Merosot dari segi apa?

DR. MAHATHIR: Dari segi sokongan daripada rakyat kerana kita amalkan sistem demokrasi, kalau rakyat tidak sokong kita akan kalah.

Pada mula Tun berada dalam UMNO, kemudian dibuang daripada UMNO tetapi kembali semula dalam parti sebagai seorang pemimpin. Jadi apa yang Tun mahu tunjukkan kepada ahli UMNO tentang sikap sebagai ahli parti tentang perjuangan.

DR.MAHATHIR: Saya tidak mungkin datang balik kalau orang tidak hendak kepada saya, bukan kehendak saya. Bukan kata saya hendak kemudian saya datang. Jika orang tidak hendak saya masuk balik, orang tidak akan terima.

Jadi sekali lagi saya hendak tekankan apabila kita hendak UMNO kekal, kita mesti buat perkara yang dianggap baik dari segi UMNO dan orang Melayu. Ini kerana dalam pilihan raya, orang bukan UMNO akan menentukan nasib UMNO.

Orang biasa tidak aktif dalam parti politik tetapi dalam pilihan raya, mereka yang mengundi, jadi undi mereka yang beri kelebihan untuk kita menang.

Tetapi dalam pilihan raya kalau kita buat benda yang rakyat tolak dia boleh menentukan pendirian mereka dengan tidak undi kita.

Kita hendak kalah bukan banyak, kadang-kadang kita tengok sesetengah kawasan itu kita kalah 100 undi atau 200 undi, kita kalahlah. Saya dulu kalah. Mulanya saya menang 4,000, itu pun dalam pilihan raya satu lagi. Saya kalah hampir 1,000 undi. Bermakna lari 5,000 undi tetapi sekarang ini tidak payah 5,000 undi, 200 atau 300 undi sahaja kita boleh kalah.

Apakah peristiwa-peristiwa sepanjang 60 tahun ini yang hampir menjejaskan UMNO?

DR. MAHATHIR: Pada 1969 apabila kita tidak faham perasaan rakyat, kekecewaan mereka berkenaan kedudukan tidak seimbang antara kaum. Fasal 1999 iaitu bila rakyat berpendapat bahawa kononnya UMNO tidak bertimbang rasa.

Pada 1987, parti Semangat 46, hendak tempat, bila tidak ada tempat sanggup jadi parti serpihan. Pada 1998 apabila sekali lagi parti serpihan yang berlaku, ini semua peristiwa yang boleh menghancurkan UMNO kalau ia tidak ditangani dengan baik.

Jadi UMNO memerlukan pemimpin yang mampu menangani segala konflik atau masalah dalaman bagi memastikan ia terus kekal.

DR. MAHATHIR: Pertama, kita kena jaga parti, satu lagi kena jaga rakyat termasuk yang bukan Melayu. UMNO kena ingat orang bukan Melayu pun main peranan juga.

Jadi kita kena jaga macam mana kita menangani UMNO, bagaimana kita menangani orang Melayu dan bagaimana kita mengendalikan rakyat keseluruhannya termasuk bukan Melayu.

Apakah perbezaan mentaliti orang UMNO dahulu dan sekarang?

DR. MAHATHIR: Dulu saya masih ingat apabila kita cadangkan seseorang itu jadi calon dalam pilihan raya, dia kata dia tidak layak jadi calon.

Tetapi sekarang ini yang tidak layak itu sanggup berebut hendak jadi calon sampai sanggup guna duit.

Bukan hendak jadi calon untuk berkhidmat kepada negara atau bangsa, sebaliknya hendak kepada gelaran jadi Yang Berhormat dan dapat elaun. Bila dapat, ramai yang tidak mahu lepas jawatan. Hendak duduk di situ sampai mati.

Ramaikah orang yang macam itu?

DR. MAHATHIR: Ramai…payah. Masa saya dulu, kita angkat orang jadi Senator, lepas itu ingat cukuplah, bagi peluang kepada orang lain pula.

Orang tidak hendak lepaskan. Mereka kata kena terus jadi Senator, kalau tidak susahlah mereka. Oleh kerana itu, saya terpaksa buat peraturan boleh jadi Senator setakat dua penggal sahaja.

Satu penggal ada tiga tahun, lepas dua penggal iaitu enam tahun, mesti berhenti. Baru boleh kita beri peluang kepada orang lain.

Kalau tidak ada peraturan itu, tidak ada seorang pun yang kata dia patut berhenti. Semua kata mesti terus jadi Senator, anak dia kena jaga, status dia kena jaga, duit tidak ada, macam-macamlah alasan.

UMNO adalah parti yang membawa kemerdekaan, tetapi sampai bila kita hendak guna hujah itu untuk mendapat sokongan sedangkan ada parti lain yang mendakwa lebih relevan?

DR. MAHATHIR: Itulah kita kadang- kadang kena fikir. Kata kita berjuang dalam UMNO untuk UMNO. Itu tidak kena kerana UMNO adalah alat orang Melayu untuk berjuang bagi kebaikan orang Melayu.

Kalau UMNO sudah jadi sebuah parti untuk dirinya semata-mata. Untuk kekalkan dirinya tanpa mengambil kira masalah atau kepentingan orang Melayu, pada masa itu UMNO mungkin jadi tidak relevan.

Pada masa itu, kita tidak akan dapat sokongan daripada orang yang bukan ahli UMNO.

Hanya tinggal 14 tahun lagi untuk sampai kepada matlamat negara maju pada 2020. Jadi cabaran UMNO semakin getir untuk memastikan orang Melayu pun maju pada waktu itu.

Adakah UMNO mampu mencapainya?

DR. MAHATHIR: Sedikit sebanyak dari segi kemajuan orang Melayu kita berjaya juga. Hari ini orang Melayu terkenal di dunia sebagai bangsa yang berjaya. Bahkan kalau pergi mana-mana pun orang tahu Malaysia. Dulu orang tidak tahu langsung Malaysia di mana.

Sekarang ini, apabila mereka tahu rakyat Malaysia, mereka datang untuk minta nasihat daripada kita. Mereka mendapatkan pakar-pakar kita bekerja di luar negara.

Ini tidak berlaku pada masa dulu, orang Melayu dianggap orang yang kolot dan tidak ada kebolehan. Tetapi sekarang ini berkat perjuangan UMNO, orang Melayu sudah mencapai satu tahap yang lebih baik.

Tetapi ini bukan dengan sendirinya boleh kekal. Ia harus diusahakan. Kalau kita hendak menjaga maruah kita, maka kita kena tunjuk kebolehan kita.

Sekarang ini ada orang Melayu di luar negara yang tidak mahu pulang ke tanah air. Jadi bagaimana sumbangan mereka ini?

DR. MAHATHIR: Itu kehakisan dari segi nilai hidup. Ia mesti berlaku dalam masyarakat. Kita kata orang Melayu yang tidak hendak balik kerana mereka pandang mereka lebih untung duduk di luar negara.

Tetapi ada juga orang Melayu yang duduk dalam negara tetapi sudah lupa tentang komitmen dia kepada orang Melayu.

Kalau hendak marah kepada Melayu yang duduk di luar pun tidak boleh juga kerana apa yang ada dalam negeri tetapi utamakan diri sendiri, orang ini sama juga yang tidak balik itu.

Tetapi orang ini juga gunakan UMNO untuk capai matlamat mereka?

DR. MAHATHIR: Yang dalam dan luar, semua guna UMNO. Kalau tidak sebab UMNO, mereka tidak dapat. Malah kadang-kadang dia dapat terus melalui UMNO.

Orang lain itu dapat hasil daripada perjuangan UMNO. Umpamanya kita keluarkan biasiswa, dia gunakan biasiswa itu. Tetapi kita ada dalam parti dan kita utamakan untuk dapat jadi YB. maka lebih kurang sama sahaja.

Orang lain sekurang-kurangnya tidak naik melalui tangga parti. Tetapi ini pakai tangga parti lepas itu tolak tangga.

Akhir sekali apa-apa nasihat Tun kepada ahli-ahli UMNO?

DR. MAHATHIR: Sayanglah kepada UMNO. Kita dapat banyak nikmat daripada UMNO kalau tidak kerana UMNO kita tidak ada di sini, Janganlah fikir tentang diri saja.

UMNO 60 Years…

Wednesday, May 10th, 2006

JOHOR BAHRU 10 Mei - Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-60 di Istana Besar di sini esok, membawa makna tersendiri dalam mengukuhkan semangat, maruah dan amanah parti yang telah menunjangi perjuangan orang Melayu.

Perhimpunan yang bakal disertai oleh 60,000 ahli dari seluruh negara itu turut mencatat sejarah sebagai yang terbesar sepanjang usia parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam wawancara khas dengan Utusan Malaysia sempena sambutan itu berkata, dalam memperjuangkan kekuatan bangsa, UMNO sentiasa memilih untuk menggunakan pendekatan harmoni.

Oleh itu, katanya pendekatan UMNO sentiasa mengutamakan kebijaksanaan fikiran, bukan dengan cara berlawan `lengan siapa lebih keras’.

“Inilah cara UMNO. Ahli-ahli UMNO tidak pernah rasa rendah diri dengan pendekatan ini. Sebaliknya inilah cara kita - kekuatan kita. Saya yakin, dengan pendekatan politik UMNO, semangat ini akan terus diamalkan di masa akan depan,” katanya.

Ditanya apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO untuk terus maju, Abdullah berkata:

“UMNO mesti berubah secara berterusan dari segi cara kerja - kerja kuat dengan cara betul. Namun demikian, oleh kerana UMNO dianggotai oleh majoritinya orang Islam, maka satu lagi elemen yang mesti ditambah ialah nawaitunya. Niat kita mesti lurus dan betul.”

Pemilihan Istana Besar sebagai lokasi sambutan juga menepati titah Sultan Johor bahawa UMNO bukan lahir di tepi jalan tetapi di istana.

Perhimpunan ini akan turut dihadiri bekas presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Abdullah dijangka memukul gendang besar sebagai tanda bermulanya sambutan ulang tahun berkenaan.

Gendang berkenaan kali kedua digunakan selepas sambutan ulang tahun ke-40 UMNO diadakan di istana ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pemilihan Istana Besar sebagai lokasi sambutan ulang tahun kali ini amat signifikan kerana di istana itulah tertubuhnya UMNO.

Dalam temu bual khas bersama Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, beliau yang juga Menteri Besar Johor memberitahu walaupun ini merupakan kali ketiga sambutan diadakan di situ, cara dan semangatnya berbeza mengikut perubahan zaman.

“Enam puluh tahun lalu ahli-ahli datang ke Johor Bahru dengan rela dan sanggup menyerahkan jiwa raga, kesetiaan dan harapan kepada UMNO.

“Ini adalah amanah orang Melayu dan UMNO menerima amanah ini untuk membela dan memperjuangkan umat Melayu.

“Hari ini dalam keadaan UMNO berkuasa dan kuat, ahli-ahli berkumpul dalam keinsafan dan kesedaran untuk terus menjaga dan memelihara amanah yang telah diserahkan 60 tahun lalu,” katanya.

Justeru menurut beliau, persiapan sambutan kali ini dilakukan dengan teliti bagi memastikan tarikh keramat dalam diari UMNO itu terus diraikan dengan penuh gemilang.

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dijadual tiba di pekarangan istana kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum menandatangani plak ulang tahun ke-60 parti itu.

Beberapa pemimpin veteran yang pernah bersama-sama pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika penubuhan parti itu juga dijadual hadir.

“Walaupun ada kalangan mereka sudah uzur tetapi masih bersemangat untuk menghadiri sambutan itu bagi mengenang detik sejarah penubuhan UMNO di istana ini,” kata Abdul Ghani.